Isnin, 17 November 2014

Fosil dinosaur ditemui di Hulu Terengganu


KUALA TERENGGANU: Sekumpulan penyelidik dan pensyarah beberapa universiti menemui fosil dinosaur termasuk tapak kaki, tulang dan gigi di Gunung Gagau, Hulu Terengganu dalam satu ekspedisi bulan lalu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman, berkata penemuan membanggakan itu adalah hasil ekspedisi yang dinamakan Ekspedisi Gagau-Menjejak Dinosaur 2014.
Beliau berkata, ekspedisi dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Kumpulan Warisan Geologi yang dianggotai pensyarah dan penyelidik beberapa universiti tempatan bersama Jabatan Perhilitan dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) itu dijalankan pada 13 hingga 23 Oktober lalu.
Ekspedisi itu disertai pensyarah dan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia; Universiti Malaya; Universiti Teknologi PETRONAS dan Universiti Malaysia Kelantan.
Katanya, ekspedisi itu membawa kepada penemuan fosil gigi, kesan tapak kaki dan tulang dinosaur spesies Theropod, Iguanodontid dan Sauropod di Sungai Chichir, Tasik Kenyir.
Selain itu, turut ditemui fosil tumbuhan, kayu terpetri dan singkapan batu arang di Sungai Pertang.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Datuk Yunus Abd Razak, berkata penemuan itu adalah yang pertama di Malaysia.
Beliau berkata, fosil yang dianggarkan berusia lebih 200 tahun hingga 65 juta tahun itu, membuktikan kewujudan dinosaur di negeri ini satu masa dulu.
"Dua fosil gigi yang ditemui dianggarkan bersaiz 1.5 sentimeter (sm), manakala tapak kaki berukuran lebih 15 sm dan tulang yang tertanam di dalam bongkah batu," katanya.
Beliau berkata, dinosaur spesies Iguanodintid dan Sauropod memakan tumbuhan, manakala Therapod adalah dinosaur pemangsa yang memakan daging.
Sumber : Berita Harian, Ahad, 16 November 2014 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan